Friday, June 6, 2014

OPERASI KHIDMAT MASYARAKAT (OPKIM) di LANGKAP, PERAK ANJURAN KOLEJ KEDIAMAN PERTAMA, UNIVERSITI MALAYA

            Operasi Khidmat Masyarakat atau OPKIM sesi 2013/2014 telah dijalankan pada 5 hingga 8 April 2014 bertempat di Langkap, Perak. Program ini melibatkan 33 orang mahasiswa-mahasiswi yang menjadi anak angkat selama 4 hari 3 malam bersama 9 buah keluarga angkat di Kg Attaduri, Langkap, Perak. Program ini mendapat sokongan penuh oleh Pejabat Parlimen Pasir Salak, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sg. Manik, Pejabat Penghulu Mukim Changkat Jong, Ketua JKKK Langkap, Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak, Pihak Kebajikan Masyarakat (KEMAS) Langkap dan juga pihak Sek Keb Seri Langkap.
5 APRIL 2014 (SABTU)
Kehadiran kami pada sekitar jam 2.00 petang di Langkap Perak telah disambut baik oleh pihak JKKK Kg Langkap, Perak iaitu ketuanya En Noor Azman Bin Ashkar, di Masjid Al-Makmur, Langkap. Kami juga berbesar hati dengan kehadiran YB Dato’ Haji Zainol Fadzi B Hj Paharudin, YB ADUN Sg Manik, yang turut hadir untuk merasmikan sesi penyerahan anak angkat serta memberikan ucapan terima kasih kerana sudi memilih Langkap sebagai tempat untuk OPKIM dari Kolej Kediaman Pertama, Universiti Malaya ini. Selepas sesi penyerahan tersebut, kami dibawa ke rumah keluarga angkat masing-masing. Mengikut jadual yang telah dirancang, kami akan mengadakan aktiviti sukaneka di sebelah petang. Namun, disebabkan hujan yang agak lebat pada waktu itu menyebabkan kami terpaksa menukar jadual aktiviti kami. Di sini, kami diuji untuk sentiasa fleksible dengan keadaan semasa. Pada waktu petang tersebut, kami telah mengemas balai raya yang ada di kampung tersebut yang akan dijadikan bilik gerakan kami sepanjang program berlangsung. Sebahagian dari kami telah berkunjung dari rumah ke rumah yang berdekatan untuk melakukan aktiviti publisiti dengan memberikan “brochure” aturcara program.
Di sebelah malam, para peserta dan keluarga masing-masing berkumpul di dewan balai raya untuk sesi ramah mesra dengan penduduk setempat. Majlis ini dihadiri oleh Ketua JKKK Langkap iaitu En Noor Azman Ashkar. Sesi dimulakan dengan taklimat dari felo penasihat program OPKIM, En Hazren Mohd mengenai Universiti Malaya dan diteruskan dengan sesi pengenalan mengenai Langkap dari En Noor Azman. Kemudian, sesi pada malam itu diteruskan dengan aktiviti santai bersama penduduk setempat. Antara aktiviti yang dijalankan ialah permainan super spontan dan regu antara kumpulan. Dari sini, kelihatan hubungan antara para peserta dan ibubapa dapat dieratkan. Aktiviti seperti ini perlu diteruskan sebagai “ice breaking antara ibu-bapa angkat dan para peserta OPKIM. Sesi pada malam tersebut diakhiri dengan nyanyian lagu tema OPKIM iaitu “Kenangan Terindah”.

6 APRIL 2014 (AHAD)
Di hari kedua, para peserta OPKIM berkumpul seawal jam 8.00 pagi dan diikuti dengan kehadiran keluarga angkat masing-masing bagi aktiviti senamrobik mega yang dikendalikan oleh biro sukan dan kesenian OPKIM. Aktiviti lain yang diadakan pada pagi tersebut ialah sukaneka rakyat, pertandingan mewarna kanak-kanak dan cabutan bertuah. Kami juga telah berjaya menjemput pihak Pejabat Kesihatan Daerah Hilir Perak dan Klinik Kesihatan Langkap untuk mengadakan pameran kesihatan mengenai pencegahan nyamuk aedes dan juga pemeriksaan kesihatan dan serviks khas untuk kaum ibu. Aktiviti pada sesi pagi telah diakhiri dengan sesi penyampaian hadiah, cabutan bertuah dan  kepada semua pemenang sukaneka dan mewarna untuk kanak-kanak. Dianggarkan aktiviti kami pada sesi pagi tersebut berakhir pada jam 12.30 tgh hari. Secara keseluruhannya, sesi pagi sangat meriah dengan kehadiran para ibu bapa, penduduk kampung, para belia dan juga kanak-kanak.
Pada sebelah petang, para pelajar diminta berkumpul pada jam 3 bagi sesi gotong royong. Para pelajar dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan akan membersihkan kawasan dewan, manakal kumpulan seterusnya akan membersihkan tadika. Antara aktiviti gotong-royong yang dijalankan di dewan ialah aktiviti menanam pokok, membersihkan kawasan padang dan membersihkan kawasan dewan. Manakala di tadika pula, aktiviti yang dijalankan ialah menanam pokok, melukis dan mengecat mural serta membersihkan kawasan tadika. Kami juga ada membuat penglabelan “OPKIM” pada setiap pokok yang telah kami tanam. Aktiviti ini diteruskan sehingga jam 6 petang.
Pada waktu malam pula, aktiviti diteruskan dengan program ceramah perdana dari Ustaz Mizra Helmi Bin Abu Bakar, Penasihat Agama Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya. Cerama yang disampaikan adalah bertajuk “Kasih Sayang Pengikat Kebahagiaan” di Masjid Al-Makmur, Langkap. Setelah selesai sesi ceramah dan jamuan ringan, para peserta OPKIM berkumpul untuk sesi postmortem dan taklimat bagi hari seterusnya.

 7 APRIL 2014 (ISNIN)
Seawal jam 7.30 pagi, para peserta OPKIM diminta untuk berkumpul di Sekolah Kebangsaan Seri Langkap bagi program interaksi bersama para pelajar tahun 6 di sekolah tersebut. Aktiviti pada pagi itu dimulakan dengan penyampaian ucapan dari wakil peserta OPKIM semasa perhimpunan sekolah tersebut. Seramai 3 orang peserta OPKIM telah dipilih bagi mnyampaikan sedikit ucapan dan berkongsi pengalaman sambil menyuntik semnagat adik-adik sekolah untuk berjaya dalam kehidupan mereka. Para pelajar yang terpilih ialah Shamil Arif dari Fakulti Perubatan, Nurul Umairah dari Fakulti Kejuruteraan dan Mohamad Azri dari Akademi Pengajian Islam.
Setelah selseai perhimpunan, kami berkumpul di dewan sekolah bagi membuat persedian sebelum bermulanya program. Pada jam 8.30 pagi, para pelajar tahun 6 tiba di dewan tersebut dan program dimulakan dengan sesi perkenalan diri oleh para mahasiswa Universiti Malaya. Selepas itu, majlis diteruskan lagi dengan sesi “ice breaking”. Kemudian, para pelajar dibahagikan kepada sepuluh kumpulan. Aktiviti pertama ialah aktiviti membina monumen yang menggambarkan kumpulan tersebut. Setiap kumpulan diberi bahan yang sama iaitu belon, getah, surat khabar, straw dan pen marker. Setiap kumpulan berjaya menghasilkan pelbagai bentuk monumen yang sangat kreatif berdasarkan nama kumpulan mereka. Objektif aktiviti ini ialah untuk meningkatkan pemikiran kreatif dan kritis dalam kalangan pelajar. Aktiviti kedua pula diberi nama imaginasi. Mereka perlu melukis gambar mengikut arahan yang diberi. Arahan yang diberi adalah mengikut turutan yang sama bagi setiap kumpulan. Disini, para pelajar dapat diuji sama ada mereka mengikut arahan yang diberi atau sebaliknya.
Pada jam 11.00 pagi program diteruskan lagi dengan ceramah motivasi yang disampaikan oleh Encik Muhammad Hasyiq Abd Samad yang merupakan bekas pelajar Fakulti Pendidikan, UM dan juga alumni bagi Kolej Kediaman Pertama. Ceramah motivasi yang diberikan adalah berkenaan persediaan bagi menghadapi peperiksaan. Dalam slot ceramah ini ada ditekankan mengenai kepentingan menghormati dan menyayangi ibu bapa. Dari sinilah dapat dilihat hati sebenar adik-adik ini yang sebenarnya amat sayang kepada ibu bapa mereka. Program diteruskan lagi dengan satu lagi aktiviti LDK iaitu “siapa cepat”. Objektif program ini adalah untuk mengetahui kepekaan para pelajar dan menguji pengetahuan am yang mereka ada. Program interaksi ini diakhiri dengan majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada para pelajar. Majlis ini dihadiri oleh Guru Besar SK Seri Langkap, En Johari Bin Shaarani serta felo penasihat bagi OPKIM iaitu Encik Hazren Mohd. Kami sempat mengambil gambar kenan-kenangan bersama semua adik-adik sekolah tersebut.
Setelah berehat di rumah keluarga angkat masing-masing, kami berkumpul semula di bilik gerakan pada jam 4.30 petang. Setiap biro masing-masing mula melakukan persiapan berdasarkan pembahagian kerja yang telah dilakukan untuk aktiviti pada malam tersebut iaitu malam citrawarna OPKIM.
Majlis pada malam itu bermula seawal jam 8.00 malam dimana para hadirin, tetamu jemputan, ibu bapa angkat dijemput untuk menikmati jamuan makan malam terlebih dahulu di dewan balai raya. Jamuan makan malam tersebut telah ditaja sepenuhnya oleh YB ADUN Sg Manik sendiri. Tema pada malam itu adalah berpakaian tradisional melayu. Majlis pada malam itu bermula dengan kehadiran tetamu jemputan iaitu Ketua Kampung Langkap, En Noor Azman Ashkar selaku mewakili YB ADUN yang tidak dapat hadir pada malam itu. Beliau diiringi oleh Felo Penasihat OPKIM, En Hazren Mohd, Timbalan Presiden JTK, saudara Shamil Arif dan Pengarah OPKIM, saudari Waheeda. Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu negaraku, lagu negeri perak dan lagu Universiti Malaya. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan pengarah program, ucapan felo penasihat dan ucapan perasmian dari ketua kampung. Pada malam tersebut, kami ada menyediakan pelbagai persembahan yang bertemakan kemasyarakatan. Antaranya ialah deklamasi puisi, nyanyian dan juga drama yang bertajuk “gejala sosial”. Kami juga amat berbesar hati apabila pihak kampung langkap juga ada menyediakan persembahan khas dari mereka iaitu persembahan kompang melayu dari pasukan kompang Kg Attaduri. Persembahan pada malam itu diselang-seli dengan acara cabutan bertuah dan juga persembahan multimedia video menayangkan gambar-gambar kenangan semasa program dijalankan. Pihak kami juga turut memberikan cenderahati kepada semua keluarga angkat yang terlibat untuk program OPKIM ini. Majlis pada malam itu diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua keluarga angkat.

8 APRIL 2014 (SELASA)
Pada hari terakhur program, semua peserta OPKIM diarah untuk berkumpul di Rumah Sejahtera Orang Tua Langkap pada jam 9.00 pagi. Aktiviti lawatan kami dimulakan dengan sesi penerangan dan taklimat yang diberikan oleh penyelia rumah sejahtera tersebut iaitu Tuan Haji Musa. Setelah itu, para pelajar dibawa untuk beramah mesra dengan para penghuni rumah sejahtera tersebut. Bilangan penghuni di situ hanyalah 6 orang. Setelah itu, kami menyampaikan sedikit sumbangan berbentuk barangan dapur dan cenderahati dari pihak kolej kepada semua penghuni rumah Orang Tua Langkap dan seterusnya sesi bergamabar. Ada para peserta yang tersentuh hati melihat kehidupan orang-orang tua yang ditinggalkan oleh keluarga mereka di situ.
Program tamat pada jam 11.30 pagi dan para pelajar diarahkan untuk berkumpul di hadapan bangunan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sg Manik. Di sinilah destinasi terakhir para peserta OPKIM Kolej Kediaman Pertama sesi 2013/2014 untuk bersama dengan keluarga angkat mereka. Semua peserta bersalam-salaman dan bermaaf-maafan denga keluarga angkat masing-masing. Ada yang mendapat cenderahati sebagai kenang-kenangan daripada keluarga angkat mereka. Suasana sedih dan sayu menyelubungi perkarangan bangunan pusat khidmat masyarakat itu. Sesi perpisahan itu juga turut dihadiri Ketua Kampung Langkap yang juga banyak memberikan kerjasama sepanjang program OPKIM ini berlangsung. Bas bertolak pada jam 1.00 petang dan selamat sampai ke Universiti Malaya pada jam 3.00 petang.
Akhir kata, diharapkan program OPKIM ini dapat diteruskan lagi pada sesi akan datang serta melibatkan lebih ramai mahasiswa-mahasiswi dan keluarga angkat dalam program ini. Sesungguhnya banyak kebaikan dan kelebihan yang dapat diperoleh oleh semua pihak daripada program ini terutamanya bagi pihak mahasiswa-mahasiswi Universiti Malaya sendiri. Tanpa kerjasama dari pihak Parlimen Pasir Salak, ADUN Sg Manik, Klinik Kesihatan Daerah Hilir Perak, Hal-Ehwal pelajar Universiti Malaya, JKKK Kampung Langkap, keluarga angkat dan semua jawatankuasa OPKIM, sudah pastinya program ini tidak dapat berjalan sempurna. Terima kasih diucapkan.


 LAMPIRAN

ATURCARA PENUH PROGRAM
Tarikh
Masa
Aktiviti
Tempat
5 April 2014 (Sabtu)
9.00 pagi
1.00 petang
2.00 petang

5.00 petang
7.00 petang
9.00 malam  

11.00 malam
Bertolak dari Universiti Malaya ke lokasi
Tiba di lokasi dan makan tengah hari
Majlis Penyerahan Anak Angkat dan Sesi Suai Kenal bersama JKKK Kampung
Aktiviti Sukaneka
Solat Maghrib dan Solat Isyak
Program Ramah Mesra bersama Pemimpin Setempat
Taklimat dan rehat
Masjid Langkap

Padang (Balai Raya)
Balai Raya
6 April 2012 (Ahad)
6.00 pagi
7.30 pagi       
8.30 pagi       

9.30 pagi       

12.00 tgh har            i
3.00 petang  
5.00 petang  
7.00 malam


9.00 malam               :          
11.00 malam
Solat Subuh dan persiapan diri
Sarapan pagi
Sesi Senam Seni 1Malaysia bersama masyarakat kampung
Ekspo Jualan, Kempen Kesihatan dan Derma Darah
Makan tengah hari dan Solat Zohor
Program Gotong-Royong Ceriakan Tadika
Sesi bersama keluarga angkat
Solat Maghrib, Bacaan Yassin, Tahlil, Solat Hajat dan Solat Isyak Berjemaah bersama masyarakat kampung
Forum Perdana
Taklimat dan rehat

Padang (Balai Raya)



Tadika KEMAS, Balai Raya
Masjid


Masjid
7 April 2014 (Isnin)

6.00 pagi
6.30 pagi       
7.00 pagi                               
1.30 petang
2.00 petang
4.00 petang
8.00 malam              
11.00 malam
Solat Subuh dan persiapan diri
Sarapan pagi
Program “Interaksi OPKIM” bersama para pelajar sekolah rendah  (SK Seri Langkap)
Makan tengah hari dan Solat Zohor
Sesi bersama keluarga angkat
Sesi persediaan Malam Citrawarna
Malam Citrawarna dan Majlis Penyerahan Semula Anak Angkat
Taklimat dan rehat
Dewan Sekolah



Balai Raya
Balai Raya
8 April 2014 (Selasa)


6.00 pagi
6.30 pagi       
9.00 pagi                               
11.00 pagi
Solat Subuh dan persiapan diri
Sarapan pagi
Program “Masih Ada yang Sayang” di Rumah Sejahtera Orang-Orang Tua Langkap
Bertolak pulang ke Universiti Malaya

Rumah Sejahtera Langkap 



GAMBAR AKTIVITI SEPANJANG PROJEK BERLANSUNG











No comments:

Post a Comment